WASHINGTON, 8 Ogos – Garis Panduan……. Pihak Pentagon mengeluarkan garis panduan baharu yang membenarkan pangkalan tentera di Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh dron komersial atau persendirian yang dianggap memberi ancaman, kata pegawai semalam.

Jurucakap Pentagon, Kapten (Tentera Laut) Jeff Davis berkata, pelbagai cabang ketenteraan menerima garis panduan baharu itu pada Jumaat, dan ia akan dilaksanakan ke pangkalan di seluruh negara.

Walaupun butiran mengenai dasar baharu itu masih dirahsiakan, Davis berkata anggota di pangkalan yang ditetapkan sebagai kawasan larangan terbang kini boleh menyasarkan pesawat tanpa pemandu yang dianggap sebagai ancaman kepada umum, kemudahan atau aset lain.

“Kami mengekalkan hak untuk mempertahankan diri dan apabila ia membabitkan dron yang beroperasi berhampiran kawasan pangkalan tentera, garis panduan baharu ini memberi kebenaran untuk kami mengambil tindakan menghentikan ancaman berkenaan,” kata Davis.

“Ini termasuk melumpuhkan, memusnahkan dan menjejakinya.”

Semua aktiviti dron di Amerika Syarikat tertakluk kepada peraturan dan garis panduan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Garis panduan ‘menembak jatuh’ yang diwujudkan berlandaskan sekatan FAA itu dimasukkan pada April lalu yang melarang penggunaan dron di lebih daripada 133 pangkalan tentera.

Pengendali dron yang melanggar peraturan tersebut tertakluk kepada tuduhan jenayah atau sivil. – WD MY