KUALA LUMPUR, 3 Mei – Produk Digital…… Satu Platform yang dipanggil Global Content Exchange (GCE)¬† atau Bursa Maya bakal menyaksikan keberadaan produk digital Malaysia di pasaran digital dunia, yang boleh diakses secara dalam talian.

Platform itu, yang ditubuhkan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), akan menjadi pusat perdagangan dan pertukaran produk digital termasuk bahan bacaan, filem serta animasi perisian, permainan maya, aplikasi komputer dan telefon pintar kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata GCE akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengetengahkan hasil kreatif mereka ke seluruh dunia, sekali gus menaikkan imej industri kreatif negara.

“GCE pula akan bekerjasama dengan pengendali pemasaran global bagi produk dan perkhidmatan dalam talian dunia seperti google.com, alibaba.com dan amazon.com.

“Syabas kepada TERAJU (Unit Peneraju Ekonomi Bumiputera) kerana membantu merealisasikan pembentukan GCE menerusi pemberian geran permulaan sebanyak RM100 juta pada bulan Mac lepas,” katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Buku Negara dan Pengumuman Calon Anugerah Telenovela yang dibacakan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahmad Zahid berkata buku kini bukan hanya terhad kepada bentuk digital dan elektronik (e-buku) semata-mata malah, ia ditransformasikan kepada bentuk dan persembahan yang lebih menarik seperti doku-drama, filem, telefilem dan telenovela.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya membuat tapisan sendiri terhadap  sesuatu maklumat termasuk kesannya kepada kehidupan mereka dalam menghadapi era ledakan teknologi maklumat masa kini.

“Amalan tapisan sendiri dapat mengelakkan masyarakat daripada terjerumus ke kancah pengaruh negatif dan menghindarkan masyarakat daripada membuat sebarang keputusan yang tidak wajar.

“Persepsi yang tepat adalah kunci kejayaan dalam berhadapan dengan pelbagai bentuk tohmahan dan fitnah. Untuk maju ke hadapan, cara berfikir harus berubah selari dengan kemajuan pesat teknologi maklumat.

“Justeru itu, ia tindakan yang bijak untuk mentransformasikan minda kita dengan menjadikan buku dan sumber maklumat yang sahih sebagai satu panduan hidup,” kata beliau. – WD MY