KUALA LUMPUR, 5 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berharap semua penduduk di Ranau, Sabah, selamat selepas kawasan itu dilanda
gempa bumi sederhana pagi tadi.

Melalui catatan terkini dalam akaun Twitternya, Najib berkata: “Saya
dimaklumkan gempa bumi berlaku tidak jauh dari Ranau. Saya harap semua selamat
dan bertenang.”

Menurut kenyataan Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional, gempa bumi
sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada 7.15
pagi.

Sementara itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggerakkan 25 anggota Pasukan
Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu operasi gempa bumi di Sabah.

Menurut Timbalan Setiausaha MKN Ogu Salim Omar, pasukan itu, yang diketuai
Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berlepas ke Kota Kinabalu,
Sabah tengah hari ini.

“Anggota terbabit termasuk paramedik, kejuruteraan dan penyelamat. Setakat
ini tiada mangsa yang terbunuh atau tercedera dilaporkan, dan kami masih lagi
menunggu perkembangan terkini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini menyampaikan bantuan bencana gempa bumi dari rakyat
Malaysia untuk mangsa gempa bumi di Nepal kepada Setiausaha Kedua Kedutaan Nepal
di Malaysia Uttam Kumar Shahiwakil, di Markas SMART, Pulau Meranti, Puchong
dekat sini.

Beliau berkata bantuan dari segi perubatan akan dihantar ke Sabah
bergantung kepada keperluan.

Menyentuh mengenai gempa bumi itu, Ogu Salim berkata MKN menerima maklumat
mengenainya 15 minit selepas kejadian tersebut pada jam 7.30 pagi.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau,
Sabah dengan pusat gempa terletak 16km di barat laut Ranau.

Gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan, Tuaran,
Kota Kinabalu dan Kota Belud.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY