KUALA LUMPUR, MAC 10 : PASTIKAN…Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memastikan bantuan akan diberikan secukupnya berikutan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau, Sabah malam semalam.

“Terima berita gempa bumi di Ranau, saya dimaklumkan setakat ini tiada laporan kecederaan.

“Saya harap semua di kawasan terkesan ambil langkah berjaga-jaga, kerajaan akan pastikan bantuan sentiasa tersedia,” katanya menerusi catatan di laman Twitter beliau, semalam.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan memaklumkan gempa bumi sederhana berlaku di Ranau pada 9.06 malam di lokasi 6.1 utara dan 116.6 timur namun tiada ancaman tsunami.

Antara kawasan yang turut terkesan dengan gegaran tersebut ialah Kota Kinabalu, Kundasang, Penampang, Tuaran, Kudat dan Kota Marudu.

Dalam gempa bumi ini didapati tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah semalam, operasi menyelamat yang dijalankan di Gunung Kinabalu tamat kira-kira pukul 4.30 pagi melibatkan 239 orang, termasuk 130 pendaki di Laban Rata Resthouse di Panalaban pada ketinggian 3,272 meter dari paras laut.-MY WD