NIBONG TEBAL, 20 Dis – Penduduk di sekitar Kuari Batu Kawan di sini gempar ekoran penemuan sebelah kaki manusia sehingga paras lutut yang hampir reput di tebing sungai di kawasan berkenaan petang semalam.

Kaki sebelah kanan itu ditemui pada pukul 4.30 petang oleh sekumpulan
pemancing yang melalui kawasan tebing sungai berhampiran Jeti Batu Musang itu
sebelum melaporkannya kepada polis.

Berikutan penemuan itu, penduduk dikatakan mula berasa panik, terkejut dan
risau apabila ia dikaitkan dengan insiden pembunuhan bersiri membabitkan warga
asing yang berlaku di negeri ini tahun lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, DSP Shariffudin Abdullah
berkata hasil siasatan awal mendapati kaki manusia yang terdapat kesan gigitan
haiwan liar itu tidak menjurus kepada kegiatan jenayah.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan kaki manusia yang ditemui bersama
sehelai tuala itu adalah milik seorang remaja yang terlibat dengan kemalangan
jalan raya pada awal pagi, lima hari lepas.

“Sebaik menerima maklumat mengenai penemuan ini, sekumpulan anggota polis
termasuk unit forensik telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Polis turut menjalankan pencarian anggota tubuh badan manusia yang lain di
di sekitar lokasi itu tetapi tidak menemui apa-apa,” katanya kepada media hari ini.

Shariffudin berkata hasil pemeriksaan lanjut, polis percaya kaki itu adalah
milik mangsa kemalangan yang kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Hasil maklumat terbaru itu polis kemudiannya telah berjumpa dengan waris
mangsa kemalangan berusia 17 tahun dan mereka mengakui telah membuang kaki
mangsa yang putus ke dalam sungai di Batu Kawan dengan membalutnya menggunakan
tuala.

“Setakat ini kita yakin kaki itu adalah milik remaja terbabit dan pengecaman
melalui cebisan tuala yang ditemui bersama kaki tersebut akan dibuat di HSJ esok
oleh waris mangsa kemalangan berkenaan,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY