JOHOR BAHRU, 14 ME I- TAHAN…..  Polis Johor berjaya menyelesaikan beberapa kes pemerasan pemaju tapak projek perumahan dan perkilangan dengan tertangkapnya enam ahli kumpulan kongsi gelap ‘04 Kluang’  semalam.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata penahanan keenam-enam lelaki tempatan berusia antara 23 dan 35 tahun di sekitar kawasan Kluang itu turut membantu polis menyelesaikan empat kes jenayah kekerasan membabitkan cedera parah, pergaduhan dan kes khianat.

“Polis merampas masing-masing dua bilah parang dan pedang samurai, lapan telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton daripada suspek.

“Siasatan awal mendapati keenam-enam mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap 04 Kluang dan bergiat aktif dalam kegiatan pemerasan serta merekrut anggota baharu bagi menyertai geng berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dan memeras ugut serta Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Katanya, orang ramai dan pemaju tapak projek diminta tampil memberikan maklumat dan aduan dengan menghubungi talian Hotline 013-6052467, sekiranya berlaku kegiatan pemerasan ke atas mereka. – WD MY