TAIPING, 25 APRIL – TUMPAS….. Pihak Polis merampas dua kenderaan mewah curi dianggarkan bernilai hampir RM1 juta susulan penahanan dua ahli kumpulan dikenali sebagai Geng Ah Hui Gurun disyaki aktif melakukan kegiatan jenayah itu di lima negeri, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata dalam kejadian jam 2 petang itu, pihaknya mengekori sebuah kereta Honda Accord dengan nombor pendaftaran palsu yang bergerak menghala ke Kedah.

Seterusnya, beliau berkata, polis mendapati kenderaan itu diletakkan di kawasan sebuah hotel di Sik, Kedah.

“Pada jam 5.45 petang, polis berjaya menahan dua lelaki di hadapan hotel itu dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan digunakan mereka dilaporkan hilang di Setapak, Kuala Lumpur, 17 April lalu.

“Hasil soal siasat terhadap dua suspek berusia 30-an itu, polis kemudian melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Seberang, Pekan Sik, sebelum menjumpai pelbagai barang dipercayai untuk kegunaan mencuri kenderaan mewah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Susulan itu, Osman berkata, polis merampas sebuah Toyota Vellfire dengan nombor pendaftaran palsu yang diletakkan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Pekan Sik.

Katanya, hasil pemeriksaan turut mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Bukit Tengah, Pulau Pinang, 18 April lalu.

Secara keseluruhan, beliau berkata, rampasan polis meliputi empat telefon bimbit, sebuah iPad, empat kad Touch ‘n Go, wang tunai RM1,690, empat unit alat kawalan jauh kenderaan jenis Honda, satu unit alat kawalan jauh kenderaan jenis Nissan serta BMW, kunci bengkok berukuran 36 sentimeter (cm) dipercayai untuk membuka pintu, dua pemutar skru dan sebuah komputer riba.

“Berdasarkan siasatan, kumpulan ini dipercayai terbabit tujuh kes kecurian kenderaan mewah di Johor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sejak awal tahun lalu.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan kumpulan ini ada kaitan dengan kes kecurian Toyota Vellfire yang digunakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, minggu lalu, sebelum ditemui semula di Teluk Intan, kelmarin. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan,” katanya.

Osman berkata, kedua-dua suspek terbabit didapati memiliki beberapa rekod lampau dengan seorang daripadanya sedang menjalani hukuman buang daerah di Sik.

“Kedua-dua suspek direman hingga hari ini dan sambungan reman akan dimohon untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – WD MY