KUALA LUMPUR, 18 JULAI – TEGUR…. Seramai 27 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen PKR mendesak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan perpaduan parti dalam isu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Mereka juga tidak setuju dengan kenyataan Anwar semalam yang menyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perlu melepaskan jawatan kerajaan sekiranya video berkenaan tulen.

Dalam satu kenyataan bersama pagi ini, mereka juga menegaskan kenyataan Anwar itu tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi.

Kata mereka, selaku Presiden PKR, Anwar sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Mohamed Azmin.

“Beliau (Anwar) juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.

“Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau (Anwar) telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Mohamed Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.

“Justeru berdasarkan penafian tegas Mohamed Azmin berkaitan hal ini, Presiden sewajarnya mempertahankan timbalannya demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan timbalan presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh.

Mereka juga mengingatkan Anwar bahawa kepemimpinan PKR mempertahankan beliau daripada fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011, Ketua Polis Negara mengumumkan video seks terbabit adalah tulen

Mendahului senarai 27 Ahli MPP dan Ahli Parlimen PKR yang mengeluarkan kenyataan bersama berkenaan ialah empat Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Ali Biju dan Dr Xavier Jayakumar.

Ahli Parlimen PKR yang turut mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Steven Choong (Tebrau), Jonathan Yasin (Ranau), Willy Mongin (Puncak Borneo) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Malah, mereka menegaskan Mohamed Azmin secara konsisten mempertahankan Anwar dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan politik kotor.

“Maka, kami ingin menegaskan bahawa PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden.

“Kami akan bersama Mohamed Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.

“Kami menggesa Anwar selaku Presiden PKR untuk berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti.

“Kami menyeru Presiden untuk segera menggembleng perpaduan anggota demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini,” kata mereka.

Berikut adalah teks Kenyataan Bersama Ahli MPP & Ahli Parlimen KEADILAN

Hentikan Usaha Memecahbelahkan Parti

Ketika menjawab soalan wartawan di Parlimen semalam, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali harus meletakkan jawatan sekiranya kesahihan video seks yang menjadi persoalan dibuktikan.

Kami tegas berpendirian bahawa kenyataan tersebut tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi semata-mata. Presiden sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan YB Dato’ Seri Mohamed Azmin. Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.

Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa YB Dato’ Seri Mohamed Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya. Justeru berdasarkan penafian tegas YB Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkaitan hal ini, Presiden sewajarnya mempertahankan Timbalan Presiden demi memelihara muafakat utuh KEADILAN dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan Timbalan Presiden dalam Kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh.

Presiden wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi di mana seluruh kepimpinan dan anggota KEADILAN berdiri teguh mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011, ketika itu Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa video seks tersebut adalah tulen. YB Dato’ Seri Mohamed Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics.’

Maka, kami ingin menegaskan bahawa KEADILAN wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden. Kami akan bersama YB Dato’ Seri Mohamed Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.

Kami menggesa YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden KEADILAN untuk berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti. Kami menyeru Presiden untuk segera menggembeling perpaduan anggota demi keutuhan KEADILAN, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini.

Kenyataan dibuat oleh

Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat :

1. YB Puan Hajjah Zuraida Kamaruddin – Naib Presiden

2. YB Dr Xavier Jayakumar – Naib Presiden

3. Saudara Chua Tian Chang – Naib Presiden

4. YB Ali Biju – Naib Presiden

5. YB Haniza Talha – Ketua Wanita / Ahli MPP

6. YB Dato’ Sri Dr Santhara – Timbalan Setiausaha Agung / Ahli MPP

7. YAB Amirudin Shari – Ahli MPP

8. YB Dato’ Rashid Hasnon – Ahli MPP

9. YB Sivarasa Rasiah – Ahli MPP

10. Saudari Rahimah Majid – Ahli MPP

11. YB Elizabeth Wong – Ahli MPP

12. YB Dato’ Saifuddin Abdullah – Ahli MPP

13. Saudara Zakaria Abdul Hamid – Ahli MPP

14. Saudara Mohd Radzlan Jalaludin – Ahli MPP

15. YB Dato’ Dr Mansor Othman – Ahli MPP

16. YB Dato’ Kamarudin Jaafar – Ahli MPP

17. YB Azmizam Zaman Huri – Ahli MPP

18. Saudari Gan Pei Nei – Ahli MPP

19. YB Hee Loy Sian – Ahli MPP

20. YB Lee Kai Loon – Ahli MPP

21. YB Baru Bian – Ahli MPP / Pengerusi MPN Sarawak (MP)

22. YB Dr Daroyah – Timbalan Ketua Wanita / Ahli MPP

23. YB Muhammad Hilman Idham – Timbalan Ketua AMK / Ahli MPP

Ahli-Ahli Parlimen:

1. YB Steven Choong – MP Tebrau

2. YB Jonathan Yasin – MP Ranau

3. YB Willy Mongin – MP Puncak Borneo

4. YB Maria Chin Abdullah – MP Petaling Jaya