ALOR SETAR, 7 Sept – TAHAN….. Empat anggota geng pecah rumah termasuk seorang wanita yang dipanggil ‘Geng Iriz’ ditahan semalam dan dengan itu pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes tersebut di sekitar Kota Setar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supt Yazri Ismail berkata mereka yang lingkungan 17 hingga 32 tahun diberkas di sebuah kedai makan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Pada pukul 1.23 petang semalam, satu laporan polis telah dibuat oleh pemilik rumah di Balai Polis Kuala Kedah berkenaan kejadian pecah rumah yang melibatkan dua buah rumah di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

“Hasil maklumat, pihak polis berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Iriz yang telah disewa suspek untuk melakukan jenayah dan ia membawa kepada penahanan empat suspek terbabit di sebuah kedai makan di sekitar kawasan hotel mereka menginap,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hari ini.

Beliau berkata pihak polis menemui 20 barang yang dicuri di dalam kereta dan bilik hotel suspek yang dianggar berjumlah RM35,000 antaranya televisyen, komputer riba, telefon bimbit, kamera, jam tangan, barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM400.

 

Yazri berkata geng tersebut menggunakan modus operandi dengan terlebih dahulu meninjau rumah-rumah di kawasan taman.

“Mereka akan berpura-pura memanggil pemilik rumah dan sekiranya tiada jawapan, mereka akan memecah masuk rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata kumpulan ini aktif sejak setahun lalu dan mereka telah menggunakan kenderaan sewa semasa melakukan jenayah sebelum menginap di hotel-hotel bajet di sekitar Alor Setar.

Seorang suspek turut dikehendaki polis berhubung dua lagi kejadian pecah rumah sebelum ini, katanya dan menambah kesemua mereka kini direman tujuh hari.

“Kita menemui hampir 20 item barang yang dicuri di dalam kereta dan bilik hotel suspek yang dianggar berjumlah RM35,000 antaranya, televisyen, komputer riba, telefon bimbit, kamera, jam tangan, barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM400,” katanya.

 

Dalam kes lain, Yazri berkata polis menahan tiga lelaki yang berumur antara 25 hingga 35 tahun yang dipercayai telah menghimpit dan melanggar sebuah kereta jenis Ford di Jalan Putra pada 27 Ogos lalu.

“Pihak polis telah mengejar sebelum berjaya menahan mereka di Kobah, Pendang dan turut menjumpai enam biji pil Eramin 5 pada salah seorang suspek.

“Kita masih menyiasat motif kejadian itu dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 Sept ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita yang berusia 20-an telah dihimpit oleh suspek yang menaiki kenderaan pikap. – WD MY