Geng Klon Touch N Go Tumpas

0
53

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Tumpas……. Pihak Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan kad Touch n Go (TNG) dalam serbuan di sebuah gudang di Mukim 12, Jalan Juru, Pulau Pinang.

Lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan dalam serbuan pada Rabu dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Siasatan awal mendapati sindiket itu mampu mengaut keuntungan sehingga RM500,000 dalam tempoh tiga bulan aktif dengan mengeluarkan kad TNG klon dan menjualnya pada harga rendah.

Sindiket yang giat di utara Semenanjung itu turut dikesan membuat tambah nilai antara RM100 hingga RM1,000 secara haram ke atas kad TNG tulen yang dibeli pada harga minimum.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata lima suspek berusia antara 29 hingga 55 tahun itu berperanan sebagai dalang utama, pengaturcara sistem dan ejen pengedar kad kepada pembeli.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas 264 kad kad TNG yang mengandungi nilai dianggarkan melebihi RM200,000, tiga komputer riba, 10 telefon bimbit, 13 tag kunci, satu unit perisian Proxmark, sebuah komputer serta dua buah kereta,” katanya.

Kad TNG yang diklon atau kad tulen yang ditambah nilai secara haram itu dijual kepada pelanggan dengan harga diskaun antara 20 peratus sehingga 30 peratus, jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran kad TNG sah.

“Gudang yang diserbu itu pula disyaki menjadi markas utama sindiket menjalankan kegiatan mereka,” katanya.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

“Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga esok untuk membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, polis memberi amaran supaya orang ramai tidak menggunakan kad TNG klon atau tidak sah kerana ia adalah satu kesalahan.

“Melalui sistem diguna pakai syarikat TNG, semua transaksi kad dapat dikesan sekali gus memudahkan kedudukan pengguna-pengguna kad palsu ini dipastikan,” katanya. – WD MY