LONDON, 30 MAC – BOIKOT… Kerajaan Britain dan ahli politik Kesatuan Eropah, hari ini menggesa Brunei tidak meneruskan rancangan melaksanakan hukuman mati ke atas golongan gay dan jenayah zina.

Sementara pelakon George Clooney pula menggesa hotel dimiliki negara itu dipulaukan.

Pada 2014, Brunei memperkenalkan undang-undang jenayah Islam, dengan denda atau penjara bagi kesalahan seperti hamil luar nikah atau tidak menunaikan solat Jumaat, tetapi menangguhkan perubahan lebih mendadak selepas mendapat bantahan antarabangsa.

Namun negara bekas jajahan Britain itu kini mendedahkan rancangan mengadakan undang-undang Syariah bermula 3 April ini dengan kanun keseksaan baru yang melaksanakan hukuman rejam sampai mati atau sebat untuk kesalahan liwat, zina atau rogol dan memotong tangan atau kaki untuk kesalahan mencuri.

Pengumuman itu, dan terutamanya mensasarkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender, mencetuskan kemarahan antarabangsa dengan ahli politik dan selebriti menggesa Brunei menggantung rancangan itu dengan segera.

“Menteri bagi Asia dan Pesuruhjaya Tinggi sudah membangkitkan kebimbangan secara peribadi.

“Hukuman itu bercanggah dengan nilai negara kita,” kata jurucakap Kementerian Luar Britain dalam kenyataan yang diemelkan hari ini. – WD MY