KUALA SELANGOR, 21 Mac – GERAK KERJA…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) Selangor memastikan gerak kerja parti ‘sifar kecacatan’ bagi merampas kembali negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau turut menagih komitmen daripada setiap jentera BN negeri tidak kira daripada UMNO atau parti komponen supaya bergerak sebagai satu pasukan di bawah panji BN.

“Dalam kebersamaan kita untuk ambil alih Selangor pastikan jangan ada kecacatan sekalipun, kita mesti memastikan sifar kecacatan, kita mesti bersatu padu, kita mesti bersepakat dan bekerja sebagai satu pasukan di bawah BN, itu penting,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Rakyat di Bandar Puncak Alam hari ini.

Tegas Ahmad Zahid, kesepakatan dalam kalangan pemimpin dan anggota BN Selangor juga perlu diterjemahkan menerusi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum.

Tambah beliau, sikap mementingkan diri harus diketepikan dalam kalangan semua parti komponen BN sekali gus memastikan kecacatan sifar bagi memenangi PRU-14.

“Kita kena terjemahkan kesepakatan BN kerana kejayaan BN selama ini adalah berpaksikan kesepakatan.

“Contohnya pada PRU-13, kita hanya menang Parlimen Kuala Selangor pun dengan 460 undi. Kita tidak menang dengan selesa dan banyak kerja kena buat lagi.

“Ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah Kuala Selangor pun kena beri perkhidmatan terbaik. BN mesti kekalkan DUN Jeram dan Bukit Malawati serta merampas kembali Ijok,” katanya.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh serta Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, rakyat di Selangor perlu menolak pemimpin bermusim yang hanya muncul ketika pilihan raya untuk mempengaruhi pengundi bagi menyokong parti tertentu.

“Di Selangor ada golongan ‘kelawar politik’ yang hanya membuat kerja pada musim buah-buahan saja. Apabila tiba musimnya, kelawar ini akan berterbangan mencari buah.

“Gaya politik ini menjadi amalan pentadbiran Kerajaan Selangor sekarang. Mereka (Kerajaan Selangor) menyimpan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan ke dalam rizab negeri untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa simpanan negeri dalam keadaan baik.

“Apabila tiba musim pilihan raya, mereka guna duit yang disalurkan Kerajaan Persekutuan untuk laksanakan pelbagai projek untuk rakyat, kononnya mereka kerajaan prihatin,” katanya. – WD MY