PUTRAJAYA, 22 Mei – Anugerah Program 3K (Kebersihan, Kesihatan
dan Kesihatan) untuk mendidik pelajar dengan amalan gaya hidup sihat dilancarkan
semula selepas dihentikan pada 2009.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan, ia merupakan satu gerakan
kesedaran untuk mendidik gaya hidup yang sihat, aktif dan cergas dengan
menggunakan nutrien susu sebagai asasnya.

Katanya pasukan daripada kementerian dan Dutch Lady Milk Industries Bhd akan
bergerak ke sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara mulai bulan hadapan (Jun)
untuk berkongsi pengalaman dan pendedahan agar dapat membuat penilaian
sewajarnya.

“Penilaian merangkumi aspek pentadbiran dan pengurusan, kebersihan,
kesihatan, keselamatan dan projek khas iaitu cabaran, cergas dan ceria.

“Selepas penilaian, penganugerahan berupa wang, sijil kecemerlangan dan
piala pusingan akan diberi kepada 32 sekolah rendah dan menengah yang bertanding
pada November ini,” katanya ketika melancarkan semula program itu di sini hari
ini.

Katanya Universiti Putra Malaysia akan menjalankan kajian untuk melihat
impak dan keberkesanan program itu.

Kamalanathan berkata Anugerah 3K yang dimulakan pada 1991 di peringkat
sekolah rendah dan menengah, terpaksa dihentikan sejak 2009 kerana memberi
keutamaan kepada fenomena yang melanda negara seperi jerebu, H1N1 dan banjir.
– Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY