PARIS, 16 APRIL – TERBAKAR…… Gereja besar Notre-Dame, mercu tanda bersejarah Perancis yang wujud sejak Zaman Pertengahan lagi terbakar malam semalam namun pantas dikawal bomba, kata pihak berkuasa.

Bomba juga berjaya menyelamatkan dua relik bersejarah di gereja berkenaan termasuk Crown of Thorns dan Tunic of St Louis selain dua menara jam daripada runtuh.

Seorang anggota bomba dilaporkan cedera.

Kebakaran yang bermula awal malam semalam itu memusnahkan bumbung ikonik gereja besar berusia lapan abad itu sebaik api mula merebak ke puncak menara.

Namun, difahamkan banyak lagi karya seni dan artifak tidak ternilai masih berada di dalam gereja besar terbabit.

“Perkara yang paling buruk berjaya dielakkan, walau bagaimanapun masalah sebenar masih belum dapat diatasi sepenuhnya,” kata Presiden Perancis Emmanuel Macron kepada wartawan ketika melawat lokasi kejadian tengah malam tadi.

Macron berkata Perancis akan melancarkan kempen untuk membina semula katedral yang juga Tapak Warisan Dunia UNESCO berkenaan, termasuk melalui usaha mengutip dana dan menarik penderma dari luar negara untuk menyumbang.

“Kita akan sama-sama membinanya semula,” kata Macron.

Ketua bomba Paris, Jean-Claude Gallet berkata struktur utama katedral itu berjaya diselamatkan dari musnah sepenuhnya.

Sumber polis berkata, siasatan awal mendapati kebakaran tercetus secara tidak sengaja. – WD MY