SINGAPURA, 13 Jun – Pecah Rekod Dunia….. Seramai 263 peminat yang berpakaian hantu menyambut kedatangan bintang dan pengarah Ghostbusters ke acara permaidani merah filem berkenaan di Event Plaza, Marina Bay Sands di sini, malam tadi.

Melissa McCarthy dan Paul Feig yang muncul pada acara itu kira-kira jam 8.40 malam bukan saja disambut dengan sorakan serta jerit peminat, malah

kehadiran penggemar setia siri filem terbabit yang mengenakan pakaian serba putih.

Mereka berbuat demikian dalam usaha memecahkan Rekod Dunia Guinness bagi perhimpunan terbesar orang berpakaian hantu di sebuah lokasi.

Usaha terbabit berbaloi apabila Adjudikator Guinness World Records, Rishi Nash mengesahkan pencapaian itu di hadapan McCarthy serta Feig.

Kedatangan kedua-dua selebriti berkenaan ke Singapura adalah bagi mempromosikan filem terbaharu mereka, karya yang diberi nafas baharu berdasarkan filem popular arahan Ivan Reitman lebih tiga dekad lalu.

Berbeza dengan naskhah asal, kali ini pasukan penangkap hantu dianggotai oleh empat wanita kelakar. Selain McCarthy, turut beraksi dalam filem yang bakal menemui penonton bulan depan ialah Kristen Wiig, Kate McKinnon, Leslie Jones dan Chris Hemsworth.

McCarthy berkata, beliau seronok terbabit dalam filem komedi dan aksi berkenaan. Ini kerana ia bukan saja judul kegemaran ramai, malah dirinya juga berpeluang berlakon di samping rakan-rakan sendiri.

Feig pula berkata, filem arahannya itu menjanjikan sesuatu yang lebih hebat, kelakar dan penuh dengan aksi.

Sejak awal pengumuman pembikinan semula filem terbabit, ramai peminat yang tidak henti-henti mempertikaikan keputusan pengarahnya menampilkan bintang wanita bagi menerajui Ghostbusters baharu.

Apatah lagi apabila trailer pertama filem berkenaan mula-mula ditayangkan kepada umum, ia terus menjadi bahan hentaman mereka.

Namun, pelakon asal flem itu termasuk Bill Murray beberapa hari lalu menyatakan beliau menyukai garapan terbaharu Feig selain memuji aksi keempat-empat aktres berkenaan. – WD MY

LEAVE A REPLY