JERAI, 1 Feb – GIAT MARA…..┬áMenteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata skim Latihan Kemahiran GiatMARA diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila sering menerima pentauliahan dari luar negara, sekali gus membuktikan institusi itu berjaya melahirkan pelatih berkualiti.

GiatMARA banyak menggondol anugerah dalam banyak pertandingan termasuk di peringkat ASEAN dan antarabangsa khususnya melalui World Skills Competition.

Sebagai contoh, katanya, baru-baru ini dalam World Skills Competition di Abu Dhabi, tiga pelatih mewakili Malaysia dalam bidang seni reka gaya rambut, pendawaian elektrik dan penyejukbekuan serta penyaman udara berjaya mendapat pengiktirafan kecemerlangan.

“Pada September tahun ini pula, enam pelatih GiatMARA akan mewakili Malaysia di ASEAN Skills Competition melalui bidang antaranya pendawaian elektrik dan seni reka gaya rambut.

“Tenaga pengajar juga mempunyai kemahiran, contohnya bagi kursus latihan dalam bidang industri rel dan kereta api, kita hantar 10 guru di China untuk pengajaran program berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bangunan GiatMARA Jerai.

Bangunan GiatMARA yang dibangunkan dengan kos RM8.1 juta itu menawarkan lima kursus iaitu pendawaian elektrik, penyejukbekuan dan penyaman udara, fesyen, industri penyelenggaraan serta kursus baharu yang dicadangkan iaitu kimpalan dan fabrikasi logam.

Ismail Sabri berkata, sejak ditubuhkan pada 1986, GiatMARA melatih 394,828 pelatih dengan secara puratanya setiap tahun kadar kebolehpasaran mereka adalah 85 peratus.

Malah, beliau berkata, GiatMARA sudah melahirkan 14,800 usahawan di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini 230 GiatMARA di seluruh negara menawarkan 667 kursus dan paling terbaru membabitkan kursus Aeroangkasa yang diperkenalkan sejak Julai tahun lalu membabitkan 20 pelatih.

“Bagi GiatMARA kita akan memastikan sesuatu kursus ditawarkan bersesuaian keadaan semasa dan faktor geografi di lokasi pusat itu diwujudkan supaya ia relevan.

“Sebagai contoh di Kuala Kedah, terdapat banyak nelayan, jadi kita akan mempertimbangkan untuk melaksanakan kursus baharu iaitu membaiki bot dan kursus ini sudah diperkenalkan di Merbok,” katanya. – WD MY