KEMAMAN, 14 Okt  – TAHUNAN…..Gelombang Nelayan Nasional (GNN) akan dijadikan program tahunan dengan pihak kerajaan bersedia menyalurkan peruntukan tambahan RM2 juta bagi penganjurannya tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penganjuran GNN juga merupakan simbolik sokongan kerajaan terhadap golongan nelayan yang sentiasa bertungkus lumus mencari hasil protein untuk dinikmati rakyat.

“Peruntukan tambahan ini di luar daripada peruntukan sedia ada agar GNN dapat diadakan setiap tahun malah tempat ini (Kuala Kerteh) boleh dijadikan lokasi ikonik atau mungkin diadakan di beberapa tempat lain,” katanya ketika berucap merasmikan GNN 2017 di Kuala Kerteh di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Zahid yang sempat menyaksikan kemeriahan sambutan GNN 2017 itu turut menyatakan rasa bangga dan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berjaya mengumpul 30,000 nelayan dari seluruh negara untuk memeriahkan GNN 2017.

Ahmad Zahid berkata GNN juga adalah lambang sokongan nelayan terhadap kerajaan dan menunjukkan kesungguhan kementerian itu dalam menjaga kebajikan nelayan.

“Nelayan adalah wira yang tidak didendang yang telah memberi pendapatan kepada negara, memajukan negara dan memberi makanan protein kepada rakyat. Nelayan adalah penyokong kita dan perlu diambil kepedulian yang lebih kepada mereka.

“GNN adalah kombinasi antara nelayan dan kerajaan. Kita tahu bahawa apa yang dilakukan kerajaan bukan sekadar memberi elaun bulanan… kerajaan bukan sekadar memberi perhatian kepada sektor lain tetapi juga kepada perikanan,” katanya.

Pada perasmian GNN 2017 hari ini, sebanyak 700 bot nelayan daripada Pahang dan Terengganu yang berkumpul di sini sejak Khamis lalu memeriahkan suasana dengan berarak ke jeti Kuala Kerteh manakala ramai nelayan veteran turut hadir untuk memberi sokongan.

Lokasi GNN 2017 juga penuh sesak dengan kehadiran nelayan dan anggota keluarga mereka serta orang ramai untuk menyaksikan lebih 70 acara yang berlangsung selama tiga hari, berakhir hari ini.

“Nelayan ada semangat juang yang tinggi, mana mungkin boleh meredah lautan jika tiada tekad yang kental. Saya amat bersetuju dengan program ini dan saya akui bahawa Datuk Seri Ahmad Shabery banyak membantu mendedahkan kami dengan pelbagai perkara untuk menambah pendapatan,” katanya. – WD MY