KUALA LUMPUR, APRIL 11: GOLONGAN…Pelancaran Manifesto Jaminan Orang Muda oleh Barisan Nasional (BN) dengan lapan inisiatif yang dikhususkan kepada golongan belia jelas menjadi simbolik kepentingan peranan mereka dalam pembangunan negara.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, golongan muda bukan hanya sekadar pemerhati pada pilihan raya akan datang, sebaliknya menjadi bakal penentu masa depan negara.

“Dengan peratusan pengundi muda berjumlah hampir 40 peratus, ia jelas menunjukkan keterujaan anak muda dalam menyumbang ke arah sejarah pilihan raya yang paling genting ini.

“Justeru, harapan golongan muda yang mahukan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju dan pembinaan negara kini dipenuhi menerusi manifesto BN.

“Anak muda akan diberi prospek khusus demi pembinaan masa depan belia yang lebih tersusun kerana generasi inilah yang akan mencorak serta membawa Malaysia ke tahun 2050,” katanya menerusi kenyataannya, hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Sahabat Puteri BN berkata, tawaran yang dibentangkan adalah selari dengan pembangunan ekonomi yang pesat dengan mengambil tindakan afirmatif bagi mengawal serta memastikan pembangunannya selari dengan ekonomi dunia.

“Saya yakin bahawa belia di Malaysia menginginkan kualiti hidup yang baik, ekonomi yang lebih baik dan kestabilan negara yang lebih baik.

“Semua jaminan yang ditawarkan oleh BN kepada anak muda itu adalah gambaran prospek dan “blueprint” yang bakal diguna pakai demi kebajikan anak muda sekiranya kekal sebagai parti pemerintah ” katanya.-MY WD