KUALA LUMPUR,OKTOBER 7:BANTAH….Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membantah kenyataan Menteri di Jabatan Pendana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mahu penguat kuasa agama tidak lagi mengetuk atau memecahkan pintu ketika siasatan atau operasi khalwat serta aktiviti maksiat lain.

Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa, berkata Mujahid perlu memahami mengapa undang-undang membanteras aktiviti maksiat, khususnya khalwat wujud di negara ini.

Malah, katanya, Mujahid tiada hak untuk melarang atau mengawal penguat kuasa agama kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa negeri.

“Undang-undang ini wujud untuk mencegah kemungkaran seperti seperti zina, anak luar nikah serta pembuangan bayi yang semuanya berpunca daripada perbuatan khalwat.

“Mujahid selaku menteri perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan secara terbuka yang hanya menyebabkan masyarakat celaru.

“Ini soal yang sensitif dan sepatutnya dibincang secara tertutup kerana ia boleh menyebabkan orang melihat Islam seolah-olah zalim kepada penganutnya sedangkan ia bertujuan untuk mencegah kemungkaran,” katanya ketika menghubungi NSTP, hari ini.

Zambri berkata, kerajaan sepatutnya cuba memperbaiki kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang khalwat serta berbincang dengan jabatan agama negeri bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik terhadap masalah yang ada.

Katanya, pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang sivil juga ada kelemahan seperti proses tangkapan dan reman, namun tidak pula diperbesarkan hingga menjadi polemik masyarakat.

“Kalau kerajaan berkeras dengan pendirian ini, kita akan bantah. Kami juga akan bawa pakar dan ulama untuk lihat kaedah terbaik dalam mencegah perbuatan maksiat,” katanya.-MY WD