IPOH, 29 April – Dituduh……. Seorang graduan perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini petang tadi terhadap tuduhan merosakkan berhala di kuil Hindu dan memiliki senjata berbahaya.

Fathi Munzir Nadzri, 29, didakwa merosakkan objek iaitu patung-patung berhala di dalam kuil yang dianggap objek suci bagi penganut Hindu dengan mengetahui penganut agama itu akan menganggap perbuatan itu sebagai penghinaan kepada agama mereka.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kuil Sree Muneeswaran Amman Kovil di No 18, Jalan Hospital di sini, kira-kira jam 5 petang pada 24 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa memiliki sebilah parang di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 6 (2) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya 1958.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan semula kes dan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Yusaini Amer Abdul Karim, agar tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, untuk pemerhatian selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY