KUALA LUMPUR, 26 Okt – Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti menjadi penyelamat ekonomi Malaysia walaupun didakwa menyusahkan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya hasil kutipan GST dapat menampung kekurangan hasil kerajaan khususnya akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.

“Senario ini (kejatuhan harga minyak) di luar kawalan kita tetapi syukurlah kita dapat menampung kekurangan hasil kerajaan kerana kita berani memperkenalkan GST.

“Walaupun orang kata kerajaan tak patut laksanakan GST atau menyusahkan rakyat tetapi hakikatnya GST adalah penyelamat kepada ekonomi negara kita,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan merasmikan pusat membeli belah Nu Sentral dan Menara 1 Sentrum milik Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) hari ini.

Beliau berkata jika ekonomi Malaysia merudum kesannya termasuk kadar pinjaman akan menjadi lebih tinggi sekaligus menyebabkan rakyat menanggung kesusahan.

Najib berkata walaupun tindakan yang diambil kerajaan tidak bersifat populis namun ia dibuat demi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, Najib berkata PHB telah mencapai kejayaan dalam membangunkan ekonomi Bumiputera sejak beroperasi pada 2007.

Beliau berkata kewujudan pusat membeli belah Nu Sentral dan bangunan pejabat Menara 1 Sentrum membolehkan usahawan Bumiputera berkongsi limpahan rahmat pembangunan negara.

“Kedudukan pusat membeli belah ini yang bersebelahan dengan KL Sentral amat strategik kerana beribu-ribu pengguna menggunakan hub pengangkutan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY