KUALA LUMPUR, 28 FEB – TIDAK NAFI….. Kerajaan PH tidak menafikan wujudnya masalah dalam pelaksanaan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana ia dilakukan dalam tempoh yang begitu singkat bagi menggantikan cukai Barangan dan Jualan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata bagaimanapun, kerajaan berjaya memenuhi matlamat untuk memastikan impak kenaikan harga lebih rendah daripada GST.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan sistem cukai baharu dalam tempoh yang singkat iaitu dua bulan sahaja.

“Menerusi pelaksanaan SST, kerajaan tidak kata kenaikan harga tidak berlaku. Ia (kenaikan harga) tetap berlaku tetapi impaknya lebih rendah.

“Ia dibuktikan menerusi kadar inflasi yang dicatatkan pada 2018 iaitu satu peratus berbanding 3.7 peratus pada zaman GST.

“Cabaran yang dihadapi kini adalah untuk memastikan kos sara hidup akan terus dikurangkan dan rakyat boleh mendapat manfaat daripada Indeks Harga Pengguna (CPI) yang lebih rendah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran ruang pejabat baharu Razer dhari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif yang juga Pengasas Bersama Razer, Min Liang Tan.

Guan Eng berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) untuk mengkaji dari timbulnya aduan kenaikan harga.

“Kerajaan mahu memahami isu ini dengan lebih lanjut dan berbincang dengan pengusaha perniagaan mengenai aduan kenaikan kos operasi kerana ini semua masih belum dijelaskan secara fakta,” katanya.

Sementara itu, Razer membuka ibu pejabat baharunya di negara ini yang mampu memuatkan lebih 280 kakitangannya di UOA Corporate Towers.

Liang Tan berkata, Razer yang juga jenama permainan terkemuka di dunia itu memilih untuk melabur di negara ini sebagai hab teknologi kewangannya di rantau Asia Tenggara.

“Razer telah melancarkan aplikasi e-dompet bagi belia di negara ini pada tahun lalu, dikenali sebagai Razer Pay. Ia mencatat pendaftaran lebih 500,000 pengguna dalam tempoh kurang daripada seminggu.

“Bulan ini, kami akan menambah beberapa ciri baharu pada aplikasi berkenaan seperti kupon dan khidmat pesanan segera,” katanya. – WD MY