GUAN ENG PERTAHAN SST

GUAN ENG PERTAHAN SST

309
0

KUALA LUMPUR, OKTOBER 31: SST….Hampir dua bulan dilaksanakan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menerima pelbagai reaksi baik dari sudut negatif mahupun positif.

Tidak keterlaluan jika mengatakan reaksi negatif lebih ‘menyerlah’ dan individu yang paling banyak menerima kritikan, kecaman, kutukan berhubung pelaksanaan SST adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Malah, Ahli Parlimen Bagan itu juga berulang kali mendakwa bahawa beliau tidak pernah menyatakan harga barang turun dengan pelaksanaan SST.

Meskipun dihentam dari pelbagai sudut, Guan Eng tetap mempertahankan SST dan hari ini, sekali lagi beliau menegaskan SST lebih baik daripada GST.

“Saya nak tegaskan sekali lagi, saya tidak pernah menyatakan bahawa SST akan menyebabkan harga barangan jatuh.

“Saya selalu tegaskan bahawa sekiranya ada harga barangan naik, impak daripada SST adalah jauh lebih kecil berbanding GST (cukai barangan dan perkhidmatan).

“Sepatutnya (impak SST) kurang daripada separuh,” katanya dalam sidang media di Parlimen, tengahari tadi.

Keyakinan beliau diserlahkan lagi dengan kesediaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menurunkan harga rumah susulan sektor pembinaan dikecualikan SST.

“Dengan pengecualian SST, saya harap dapat lihat penurunan harga dan ini telah dicapai selepas Rehda respons terhadap keputusan kerajaan,” ujarnya.

Bukan saja Guan Eng, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini turut mempertahankan pelaksanaan SST.

“Setahu saya 10 peratus, kalau tiada pembelian, tidak perlu menjelaskan cukai. Berbanding GST, ia cukai nilai tambah. Sama ada beli atau tidak, harga akan meningkat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menguji dahulu pelaksanaan SST.-MY WD