KUALA LUMPUR, 10 April – Gubal…. Undang-undang baharu akan digubal bagi melindungi pengguna daripada dianiaya pemberi kredit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata antara pembaharuan dalam akta baharu itu adalah memperkenalkan had kadar faedah yang boleh dikenakan kepada pengguna supaya ia tidak terlalu tinggi.

Katanya, undang-undang itu juga bakal menggariskan peraturan yang seragam untuk dipatuhi semua pemberi kredit, sama ada agensi kerajaan atau swasta.

“Kita nak pastikan sesiapa saja yang memberikan kredit mesti mengikut peraturan tertentu bagi mengawal selia dan memastikan tidak berlaku penipuan.

“Saya tak mahu lagi melihat cerita (ditipu) along yang ada dalam media hari ini sehinggakan imej kredit yang diberikan seolah-olah sesuatu yang boleh merosakkan industri kredit dalam negara.

“Kerajaan juga mahu pastikan individu yang mengambil kredit tahu perbezaan jumlah yang perlu dibayarnya pada bulan pertama dan, sebagai contoh, bulan ke-50, dengan faedah bayaran itu tidak boleh melebihi kadar yang akan saya tetapkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2016 dan Pelancaran Buku Kod Etika Dan Tatakelakuan Warga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini, hari ini. – WD MY