KUALA LUMPUR, 7 Feb – Nikmati….. Penduduk Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal menikmati perkhidmatan gelanggang futsal secara percuma bermula hari ini.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan tiga agensinya akan menanggung segala kos penyelenggaraan dan operasi gelanggang berkenaan bagi menggalakkan masyarakat menggunakan kemudahan itu untuk beriadah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata kemudahan percuma itu membabitkan gelanggang futsal seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.

Katanya, kerajaan menyediakan kemudahan itu berikutan permintaan tinggi dari penduduk Wilayah Persekutuan, sejajar hasrat kerajaan mewujudkan komuniti sihat dan cergas bertepatan tema `Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’.

Beliau berkata, warga kota khususnya golongan belia dan remaja di Kuala Lumpur akan menikmati kemudahan percuma di 22 gelanggang futsal pada waktu hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat mulai jam 8 pagi sehingga 5 petang sekiranya tiada tempahan.

“Di Putrajaya, dua unit gelanggang futsal Mokhtar Dahari di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18 disediakan percuma antara jam 4 petang hingga 7 malam pada Isnin hingga Khamis.

“Kemudahan percuma ini akan membabitkan dua gelanggang futsal di Labuan, setiap hari mulai jam 8 pagi sehingga 5 petang kecuali Sabtu dan Ahad,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. – WD MY