PETALING JAYA, 18 Ogos – Dakwa…… Tengku Iskandar Tengku Ahmad, dihadapkan di Mahkamah Sesyen dan hari ini atas dua pertuduhan menggunakan perkataan ‘Yang Maha Mulia’ dan menandatangani watikah penganugerahan tanpa kebenaran, empat tahun lalu.

Tengku Iskandar, 71, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar di sini.

Tengku Iskandar didakwa menggunakan perkataan Yang Maha Mulia sebagai gelaran namanya pada dokumen watikah penganugerahan yang ditandatangani bagi menganugerahkan darjah kebesaran kepada seorang ahli perniagaan, Kok Wai Peng, 53, tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Kelantan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 3(1)(a) Kelantan Enakmen Bil 8 Tahun 1977, Enakmen Lambang- Lambang dan Nama-nama (mencegah daripada salah guna) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 Enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, OKS dituduh bertindak bagi pihak Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus dengan menandatangani dokumen watikah penganugerahan menggunakan darjah kebesaran ‘Seri Panglima Perkasa’ yang membawa gelaran ‘Dato’ Seri Diraja’ kepada Kok.

 

Dalam watikah itu, turut tertera lambang pertubuhan kerabat berkenaan seolah-olah OKS memegang jawatan Yang Dipertua bagi pertubuhan itu sedangkan ia (pertubuhan) telah dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Kelantan pada 11 Feb 2011.

Tengku Iskandar didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Istana Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan, antara 5 petang dan 11 malam, 7 Ogos 2013.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Perbicaraan, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala OKS diwakili peguam Datuk Joshua Sambanthan.

Joshua memohon kes itu dipindahkan ke Kelantan atas alasan kejadian berlaku di negeri itu dan membabitkan saksi-saksi yang berada di sana.

Mahkamah menolak permohonan itu atas alasan ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu di sini (Petaling Jaya) dan membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 25 Sept untuk sebutan semula kes.

Pada 20 April lepas, OKS didakwa atas pertuduhan sama tetapi melibatkan surat kuasa. – WD MY