KUALA LUMPUR, 20 Feb – SELESAIKAN…. Malaysia akan selesaikan isu 11 warga Uighur yang ditahan di negara ini melalui saluran diplomatik dengan semua negara terbabit, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan kepentingan mana-mana pihak.

“Kes itu kini diuruskan bersama Thailand, yang mana sebahagian daripada mereka (Uighur) ditahan di sana. Kami akan mengambil pendekatan terbaik yang tidak akan menjejaskan hubungan antara negara (yang terbabit dalam isu ini),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pra pelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 di sini, hari ini.

Seramai 20 lelaki Uighur berpindah dari pusat tahanan imigresen di Sadao, selatan Thailand pada November tahun lalu, selepas menghabiskan berbulan-bulan mengorek dinding pusat tahanan dan melarikan diri ke hutan di sempadan Thailand-Malaysia.

Seramai 11 daripada mereka dilaporkan ditangkap pihak berkuasa Malaysia. Antara 100 hingga 200 warga Uighur kini ditahan di Thailand.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menafikan kerajaan akan menghantar warga Uighur terbabit kembali ke Thailand.

“Kami akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung isu diplomasi dan keselamatan dengan negara terbabit selain mengambil kira sentimen kumpulan hak asasi kemanusiaan di rantau ini dan seluruh dunia,” katanya. – WD MY