JAKARTA, 17 NOV – BERAPI…. Gunung berapi Merapi di Jawa Tengah menunjukkan aktiviti buat kali kedua bulan ini apabila mengeluarkan abu pagi ini.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB), Agus Wibowo, berkata gunung berapa itu mengeluarkan abu pada jam 10.46 pagi waktu tempatan, mencecah 1,000 meter tinggi.

“Menurut Pusat Gunung Berapi dan Mitigasi Geologikal Bahaya (PVMBG), abu diterbangkan angin ke barat dan menyebabkan beberapa kawasan kampung Banyibir diselaputi abu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut pemantauan oleh Agensi Kaji Cuaca, Iklim dan Geofizik (BMKG), menggunakan satelit Himawari, abu tidak lagi dikesan pada jam 1.00 tengah hari waktu tempatan.

Pusat itu turut merekodkan 34 gempa bumi kecil pada kelmarin disebabkan aktiviti memuncak di Merapi.

Walaupun debu tidak sampai ke bandar raya besar berhampiran gunung itu seperti Surakarta dan Yogyakarta, pusat itu memberi amaran kepada penduduk supaya berwaspada dengan hujan abu akibat aktiviti berlanjutan gunung berapi itu.

“Bahaya berkemungkinan datang dari awan panas di puncak dan bahan gunung berapi lain akibat letusan.

“Penduduk dinasihatkan menjauhi kawasan itu dalam jarak tiga kilometer dari puncak Merapi,” menurut pusat itu dalam kenyataan.

Merapi turut mengeluarkan abu minggu lalu, dengan letusan mencecah 1,500 meter tinggi dan berlanjutan selama 160 saat. – WD MY