MANILA, 17 Jan – MELETUS…….. Gunung Mayon di Filipina mengeluarkan lahar yang menuruni cerun serta mengeluarkan abu yang jatuh di bandar berhampiran, kata pakar gunung berapi negara, semalam, menyebabkan kerajaan wilayah menutup lebih banyak sekolah.

Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) merekodkan sembilan episod gegaran, empat daripadanya bersama muntahan lahar serta 75 runtuhan lahar ketika tekanan meningkat menjurus aliran itu dan asap abu, mengulangi amaran satu letusan berbahaya mungkin berlaku pada bila-bila masa.

Gunung Mayon, terletak di rantau tengah tanaman kelapa di Bicol yang menarik pelancong kerana bentuk kon hampir sempurna, menunjukkan aktiviti meningkat sejak Sabtu lalu, menyebabkan ribuan penduduk berpindah.

Phivolcs berkata, aliran lahar dan piroklastik (serpihan batuan gunung berapi) sampai ke lingkungan zon larangan enam kilometer, yang menyebabkan penduduk terpaksa berpindah.

“Paras amaran tahap 3 kekal untuk Mayon, bermaksud ia ketika ini mengalami aktiviti tertinggi ketika magma berada dalam kawah dan letusan berbahaya tidak mustahil beberapa minggu atau hari lagi,” katanya.

Tahap 4 bermaksud letusan mungkin terjadi dalam tempoh beberapa hari sementara tahap 5 apabila letusan berbahaya sedang berlaku.

Penggantungan kelas membenarkan kerajaan menggunakan sekolah sebagai pusat perlindungan sementara untuk penduduk yang berpindah. – WD MY