SHAH ALAM, NOVEMBER 19GV5….: Meskipun tidak bergelar juara seperti yang diharapkan para peminat tegarnya, namun kumpulan penyokong Zamani di seluruh negara mengecap kepuasan apabila penyanyi kegemaran mereka itu akhirnya membuktikan kemampuan yang ‘lebih daripada biasa’.

Zamani meninggalkan cenderamata paling istimewa buat semua apabila menjayakan persembahan battle bersama Billy Zulkarnain menerusi lagu Bunga dendangan asal Altimet.

Pergerakan lincah dan ketepatan nyanyian mengikut tempo pantas serta menyanyikan baris rap membuatkan para penonton teruja dengan percubaan Zamani.

Begitu juga dengan persembahannya secara duet dengan Ameng menerusi Lagu Jiwa, Lagu Cinta, yang menyaksikan Zamani begitu selesa mengalunkan lagu daripada penyanyi asal Mazi dan Datuk M. Nasir tersebut.

Ternyata, pelantun lagu Gerimis Mengundang itu benar-benar mahu menebus kekecewaan dirinya tidak dapat beraksi dengan baik dalam salah satu minggu konsert hingga mencetuskan kontroversi.

Sebelum itu, setiap kali malam konsert di sepanjang program itu berlangsung, Zamani sering dilihat tidak memaksimumkan ruang pentas di Auditorium MBSA berkenaan dan hanya menumpukan perhatian pada nyanyiannya.-MY WD