KOTA TINGGI, 18 Okt – Memenuhi Keperluan Industri….. Hab Kemahiran Johor, yang dibangunkan untuk ‎meningkatkan bidang latihan teknikal dan vokasional (TVET), dapat memenuhi
keperluan pembangunan negeri dan mencapai aspirasi kerajaan Persekutuan untuk
melahirkan lebih ramai pekerja mahir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jika bakat
dan kemahiran anak muda tidak dilatih, beliau bimbang peluang pekerjaan yang ada
di negara ini akan hanya diisi pekerja asing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Sekiranya ini berlaku, katanya ia tidak selari dengan matlamat kerajaan yang
sentiasa komited menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Jika tenaga kerja tidak dilatih, dikuatiri majikan mengambil pekerja asing…ia tidak selari dengan matlamat kerajaan untuk menyediakan peluang
pekerjaan.

“Perancangan kampus induk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) untuk mengambil 20,000 pelajar pada masa akan datang, akan menyumbang tenaga kerja untuk negara,” katanya kepada media selepas merasmikan pembangunan Hab Kemahiran Johor di KYPJ di sini, hari ini.‎

Terdahulu, dalam ucapannya perasmiannya Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan
RM20 juta untuk membiayai kursus-kursus kemahiran dan vokasional di KYPJ tahun
hadapan.

Peruntukan itu selaras dengan komitmen kerajaan Persekutuan yang memberi fokus kepada pendidikan TVET, satu daripada komponen penting dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

“Kita memahami kursus-kursus TVET merupakan pendekatan untuk memberi latihan keterampilan bagi guna tenaga dalam pasaran industri yang semakin mencabar,” katanya.

Hab Kemahiran Johor atau dikenali sebagai Skills Johor bakal dibina di kawasan seluas 40 hektar berdekatan Kampus Induk KYPJ, dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional.

 Hab bernilai RM107 juta itu, yang dilengkapi kemudahan asas, berupaya menampung sehingga 20,000 pelatih tempatan dan antarabangsa apabila ia siap
sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

‎Ahmad Zahid juga merasmikan kampus induk KYPJ dan ‎melancarkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Ketiga-tiga pembangunan yang dilancarkan itu adalah sebahagian daripada komponen Bandar Akademik Johor dengan kampus induk KYPJ merupakan adalah yang pertama memulakan operasinya awal tahun ini dengan pelajar seramai 2,500 pelajar ketika ini.‎ – WD MY