GENEVA, 25 APRIL – SEJAM….. Kanak-kanak kecil tidak sepatutnya dibenarkan menonton televisyen, video dan bermain permainan video lebih sejam sehari, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), semalam.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menegah bayi berusia kurang setahun daripada skrin elektronik sama sekali.

Dalam garis panduan pertama seumpamanya, WHO memaklumkan kanak-kanak bawah lima tahun patut aktif secara fizikal dan mendapat tidur yang cukup untuk membentuk tabiat sepanjang hayat, mencegah obesiti dan penyakit lain.

“Kami mengingatkan lebihan penggunaan skrin elektronik di kalangan kanak-kanak kecil,” kata pakar WHO, Dr Fiona Bull kepada sidang media.

Dalam garis panduannya kepada negara ahli, WHO berkata kanak-kanak berusia antara setahun hingga empat tahun patut menghabiskan masa sekurang-kurangnya tiga jam melakukan aktiviti fizikal sepanjang hari.

Bayi bawah usia setahun patut berinteraksi dengan permainan di lantai dan langsung tidak diberikan skrin elektronik.

Tabiat tidak aktif menyumbang kepada peningkatan kes obesiti di seluruh dunia, katanya. Lebihan berat badan membawa kepada kematian awal akibat penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi dan beberapa jenis kanser.

“Usaha mengurangkan kematian disebabkan faktor sebegini patut bermula di peringkat awal,” kata Bull. – WD MY