SINGAPURA, 14 Jun – Malaysia akan menggunakan penanda aras dunia
berhubung cadangan supaya menetapkan had umur bagi mendaki Gunung Kinabalu
susulan kejadian gempa bumi di Sabah pada 5 Jun lepas, kata Tan Sri Muhyiddin
Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini adalah cadangan kerajaan negeri Sabah
dan pihak yang berkenaan dengan soal penganjuran sukan pendakian gunung.

“Dan kalau ada penanda aras antarabangsa yang digunakan bagi paras umur yang
sesuai kita boleh guna pakai. “Tetapi apa-apa kita serahkan kepada mereka (yang
berkenaan), katanya.

Muhyiddin yang ditemani isteriya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, berkata
demikian ketika ditemui media Malaysia di sini hari ini selepas menyaksikan
acara boling Masters Wanita pada Sukan SEA Ke-28 yang sedang berlangsung di
republik ini.

Berhubung mangsa warga asing termasuk dari Singapura yang terkorban di
Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa bumi itu, Muhyiddin berkata, segala bantuan
telah diberikan kepada mereka yang ditimpa kemalangan dan maut termasuk
menjalankan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mayat.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat (dengan
pengurusan tersebut).

“Ini tugas kita sebagai negara yang bertanggungjawab, kita bantu mereka yang
ditimpa kemalangan,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY