KUALA LUMPUR,OKTOBER 2:HAEL…Heal Huusaini berbangga usahanya selama 12 tahun membina tapak selesa dalam industri muzik mendapat perhatian MTV Asia apabila diangkat sebagai artis pilihan untuk bulan ini.

Hael yang popular menerusi lagu Jampi berkata, peluang yang diberikan itu membantunya untuk memperkenalkan nama di rantau Asia apabila saluran itu menyiarkan lagu dan temu bual bersamanya menerusi klip selingan.

Pemilik nama sebenar, Hal Husaini Razmi, 31, berkata, sejak dua tahun lalu, saluran televisyen itu memilih artis berbeza dari Asia Tenggara untuk melalui proses saringan sebelum paparan mengenai kerjaya seni mereka disiarkan.

“Saya tidak tahu apa kriteria yang menentukan seseorang penyanyi dipilih menghiasi segmen MTV Asia Spotlight. Saya bagaimanapun, bersyukur kerana pemilihan ini membolehkan saya berkongsi aspirasi dan lagu dengan lebih meluas.

“Selain lagu, mereka turut memaparkan temu bual bersama saya menerusi program khas secara selingan sepanjang bulan ini, bermula hari ini. Antara penyanyi yang pernah terpilih menghiasi segmen itu adalah Yuna, Agnes Monica dan bulan lalu, Afgan Syah.

“Peluang ini cukup berharga kerana sepanjang 12 tahun mencari tapak dalam industri bukan sedikit cabaran yang perlu saya lalui,” katanya yang turut menerima pencalonan awal bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke- 31.

Penyanyi yang juga komposer itu juga tidak mampu menyembunyikan keterujaannya apabila terus meraih sokongan peminat yang sentiasa menyuntik semangat untuk memberikan hasil kerja terbaik.

Hael menegaskan, selain mempertaruhkan hasil kerja berkualiti, populariti turut memainkan peranan penting kepada mereka yang berjuang dalam industri hiburan.

“Bagi saya, populariti perlu selari dengan kualiti. Seperti penganjuran ABPBH, mereka yang menerima undian peminat tentu sahaja dinilai dan dipilih berdasarkan hasil kerja.

“Insya-Allah, pada malam kemuncak ABPBH 31 nanti, saya akan memeriahkan acara apabila diberi tanggungjawab sebagai penyampai trofi bersama Nabila Razali,” katanya.

ABPBH 31 yang mempertandingkan 13 kategori utama selain lima kategori online bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.-MY WD