KUALA LUMPUR, 16 OKT – TERBABIT….. Hakim mahkamah dilarang menyertai atau mengambil bahagian dalam mana-mana parti politik selaras dengan Kod Etika Hakim 2009.

Pada masa sama, mereka juga tidak boleh terbabit dalam aktiviti berunsur politik, manakala pegawai kehakiman pula dilarang

mengambil bahagian dan aktif dalam aktiviti sama.

Perkara itu ditegaskan Ketua Hakim Negara, Tan Seri Tengku Maimun Tuan Mat dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Hari Integriti anjuran Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia di sini, hari ini.

Tengku Maimun menegaskan, larangan terkandung dalam Kod Etika Kehakiman itu termasuk tidak dibenarkan menghadiri persidangan, seminar, forum, ceramah awam dan acara anjuran mana-mana badan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan acara yang menimbulkan kontroversi.

Beliau menjelaskan, hakim yang ingin menghadiri persidangan, seminar, forum dan ceramah awam perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ketua hakim negara.

“Hakim mahu pun pegawai kehakiman juga perlu lebih berhemah dan mengelak diri daripada mengeluarkan kenyataan serta komen umum berhubung prosiding yang belum selesai.

“Selain itu, tata kelakuan perlu dijaga bukan saja ketika berada di mahkamah, tetapi di luar mahkamah termasuk di alam maya.

“Hakim dan pegawai kehakiman juga perlu menjaga kerahsiaan dokumen yang dilindungi penyebaran dan penyiaran isinya mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 dan kerahsiaan keputusan Seksyen 8,Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Sementara itu, Tengku Maimun turut menasihatkan pegawai kehakiman bijak menguruskan kewangan supaya tidak terjerumus dalam masalah hutang.

Menurutnya, masalah hutang yang dihadapi boleh memburukkan nama perkhidmatan awam dan mencalar imej Badan Kehakiman Malaysia.

Tegasnya lagi, masalah hutang boleh menyebabkan integriti hakim dan pegawai kehakiman tergugat sehingga menjadi punca melakukan perbuatan salah terutama rasuah.

Katanya, tindakan tatatertib mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 boleh diambil ke atas mana-mana pegawai kehakiman yang gagal merancang dan menguruskan perbelanjaan dengan bijak. – WD MY