KUALA LUMPUR, 9 Dis – TEKANAN…… Kenakan tekanan ekonomi ke atas Amerika Syarikat (AS) atau negara yang menyokong keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Tekanan ekonomi itu boleh dilakukan dengan menghentikan atau mengalihkan pelaburan dari AS ke negara kuasa besar lain seperti China dan Russia bagi memastikan intifada membebaskan Al-Quds berjaya.

Cadangan drastik itu disuarakan Ahli Biro Politik Hamas, Dr Maher Salah, ketika ditanya apa boleh dilakukan negara-negara Islam, termasuk negara Arab, untuk menentang tindakan provokasi Trump yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu hanya boleh ditentukan negara terbabit kerana HAMAS hanyalah sebuah pergerakan politik.

“Negara-negara Arab dan negara Islam perlu ada pendirian (tindakan) tegas seperti putuskan hubungan dan pelaburan (sekatan ekonomi).

“Ini kerana Baitulmaqdis yang juga identiti kepada negara Arab dan Islam sedang diserang,” katanya kepada media malam tadi.

Hadir sama, Ketua Hubungan Arab dan Muslim HAMAS, Izzat Al Risheq. Wakil HAMAS adalah antara perwakilan antarabangsa yang dijemput menghadiri perhimpunan agung UMNO tahun ini.

Sidang media itu diadakan susulan pengumuman Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis Timur, bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) tahun lalu menyatakan pendudukan rejim zionis Israel ke atas Baitulmaqdis Timur adalah tidak sah.

Maher menyifatkan keputusan AS itu akan mempercepatkan titik penyatuan di antara HAMAS dan FATAH selain menjadi faktor perpaduan di antara negara-negara Islam di seluruh dunia.

“Kita juga berharap persidangan tergempar OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) akan diadakan secepat mungkin dan mengeluarkan bantahan keras (ke atas tindakan Rumah Putih). Kita juga harap persidangan itu akan menjelaskan tentang kesan buruk di atas tindakan Trump,” katanya.

Wakil HAMAS yang amat berterima kasih di atas sokongan kerajaan dan rakyat Malaysia ke atas perjuangan Palestin itu turut meminta pihak berkuasa membenarkan semua pihak menyatakan bantahan mereka ke atas tindakan Trump itu.

Ditanya mengenai kebangkitan umat Islam, Maher berkata seperti mana dikatakan Ketua HAMAS, Ismail Haniyeh, tindakan provokasi Trump akan menjadi permulaan kepada intifada (kebangkitan).

“Tindakan terburu-buru itu (mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel) hanya akan membawa kesan dahsyat. Ia akan menjadi sumpahan ke atas Trump,” katanya sambil menegaskan pendirian HAMAS bahawa musuh sebenar umat Islam adalah Israel. – WD MY