KUALA LUMPUR, 22 Julai – Tawarkan….. Kira-kira 60,000 unit Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) telah dibangunkan setakat Jun lalu, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Merangkumi lebih 70 peratus sasaran keseluruhan pembinaan 85,000 unit yang ditetapkan Kementerian Wilayah Persekutuan menjelang 2020.

“Sejak dilaksanakan pada 2013, kami menawarkan rumah mampu milik kepada warga kota yang berpendapatan rendah dan sederhana serta membolehkan mereka memiliki rumah pertama,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas melancarkan sesi pengundian unit Rumawip bagi Residensi Platinum Splendor hari ini.

Sasaran yang ditetapkan ialah membangunkan 50,000 unit Rumawip di Kuala Lumpur, 25,000 unit di Putrajaya dan 5,000 unit di Labuan menjelang 2020.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menegaskan mana-mana pemilik Rumawip dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PP1M) yang didapati menyewa kepada pihak lain akan dikenakan tindakan.

 

“Pemilik unit Rumawip juga tidak dibenarkan menjual kediaman mereka kepada pihak lain bagi tempoh 10 tahun,” kata Tengku Adnan.

Mereka akan disenaraihitamkan dan ditarik balik pemilikan rumah jika didapati menyewa atau menjual unit kediaman kepada orang lain.

Projek Rumawip Residensi Platinum Splendor menawarkan satu blok 33 tingkat dengan 600 unit kediaman berkeluasan 882 kaki persegi berharga RM300,000 setiap unit.

Setiap unit didatangkan dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air bersama kemudahan satu petak tempat letak kereta berbumbung.

Ia turut menyediakan kemudahan seperti padang permainan kanak-kanak, dewan, kedai, tadika, surau, pejabat pengurusan dan kafeteria. – WD MY