KUALA LUMPUR, 10 MEI – HANDAL…. Anak syarikat milik penuh Handal Resources Bhd, Handal Offshore Services Sdn Bhd, mendapat kontrak daripada Repsol Oil and Gas Malaysia Ltd bagi menyediakan perkhidmatan pembaikian dan penyelenggaraan membabitkan 19 kren luar pesisir pantai yang terletak di luar Semenanjung Malaysia.

Kontrak selama tiga tahun itu bermula pada 10 April 2019 dengan opsyen lanjutan selama setahun, kata Handal Resource dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu menganggarkan jumlah agregat nilai kontrak adalah di antara RM20 juta dan RM25 juta tetapi materialisasi daripada jumlah nilai agregat akan bergantung kepada jadual aktiviti Repsol serta jadual pembaikian dan penyelenggaraan memandangkan penganugerahan kontrak itu dibuat berdasarkan kepada ketersediaan kerja.

“Pengurusan beranggapan bahawa kontrak ini sebagai satu pencapaian kepada Handal Resources, ketika kami berusaha membangunkan kumpulan dan memantapkan kedudukannya dalam segmen kren luar pesisir,” kata Pengarah Urusan Handal Resources, Sunildeep Singh Dhaliwal.

Beliau berkata, pelan pemulihan dalaman kumpulan masih diteruskan.

“Bagaimanapun, kami akan terus mencari kontrak-kontrak baharu untuk mengoptimumkan pendapatan syarikat,” katanya. – WD MY