KUALA LUMPUR, 6 OGOS – AMBIL ALIH…. Handal Resources Bhd telah mendapat kelulusan pemegang saham untuk mengambil alih 408,000 saham, mewakili 51.0 peratus pegangan ekuiti, dalam Borneo Seaoffshore Engineering Sdn Bhd (BorneoSea) pada harga RM25.5 juta.

Kumpulan itu berkata, transaksi itu akan dilaksanakan menerusi terbitan saham baharu Handal dan saham keutamaan boleh ubah boleh tebus pada harga terbitan 37 sen.

“Transaksi itu dijangka selesai pada suku ketiga 2019. Pengambilalihan itu datang dengan jaminan untung sebanyak RM5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada mesyuarat agung luar biasa hari ini, kumpulan itu berkata pemegang saham juga memberi kelulusan bagi pewujudan skim opsyen-saham pekerja (ESOS), serta cadangan untuk mengubah nama syarikat daripada Handal Resources Bhd kepada Handal Energy Bhd.

Ia berkata, Handal akan melaksanakan ESOS sehingga 10 peratus daripada jumlah saham dan juga akan memperuntukkannya kepada ahli lembaga pengarah yang layak.

Bagi cadangan menukar nama, katanya nama baharu itu akan mencerminkan lebih baik strategik ketika kumpulan itu menerokai skop penyelesaian berkaitan tenaga secara menyeluruh dalam industri minyak dan gas.

Pengarah Urusan, Sunildeep Singh Dhaliwal, berkata pengambilalihan (BorneoSea) menandakan langkah Handal untuk menerokai liga lebih besar, yang akan meningkatkan nilai perolehan belum disiapkan sebanyak hampir 30 peratus.

“Sejak BorneoSea diperbadankan, kami telah menukar ia menjadi syarikat yang mencatatkan keuntungan dengan mempunyai hubungan kukuh di Malaysia Timur. Dengan menyatakan demikian, kami akan mempunyai pemegang saham di Sabah sebagai ahli lembaga yang selaras dengan strategi untuk mengembangkan kehadiran Handal di pasaran tenaga Malaysia Timur.

“Kami bangga BorneoSea menyertai kami untuk meningkatkan lagi kekuatan sedia ada kami dan menambah nilai kepada kumpulan. Dengan tambahan kepakaran, kami kini berada di kedudukan untuk lebih giat mendapatkan lebih banyak kontrak dalam masa terdekat,” katanya.

Kumpulan itu berkata nilai perolehan belum disiapkan Handal kini bernilai RM537.7 juta, tidak termasuk nilai perolehan belum disiapkan BorneoSea bernilai RM151.1 juta.

Katanya, jumlah nilai perolehan belum disiapkan bernilai RM688.8 juta akan memberikan prospek pendapatan yang jelas bagi kumpulan di masa depan.

Dari segi nilai tender, jumlah dicatatkan Handal adalah RM1.5 bilion manakala BorneoSea RM1.1 bilion, katanya. – WD MY