SUNGAI PETANI, 14 Feb – MANGSA…. Seramai 257 pekerja lelaki menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja dalam tempoh lima tahun yang direkodkan antara 2013 hingga 2017.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga menunjukkan 961 pekerja wanita menjadi mangsa dengan jumlah keseluruhan dalam tempoh lima tahun itu adalah 1,218 kes.

“Dalam 1,218 kes ini terdapat 1,272 suspek, di mana 1,215 adalah lelaki dan selebihnya iaitu 57 suspek adalah wanita.

“Daripada 1,218 kes ini, 1,187 kes masih lagi dalam siasatan dan 31 kes sudah dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar ‘Menangani Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Utara di sini, pagi tadi.

Hannah berkata beliau percaya terdapat mangsa yang tidak membuat aduan berikutan mekanisme membuat laporan serta siasatan terhadap pesalah laku yang mengambil masa lama.

“Mangsa terpaksa berdepan pesalah laku di tempat kerja sepanjang tempoh siasatan dilakukan, sekali gus mengakibatkan mangsa mengalami trauma berganda termasuk kesan daripada pandangan rakan sekeliling.

“Terdapat juga kes mangsa adalah pegawai yang bekerja di bawah seliaan pesalah laku seperti ketua jabatan…mangsa akan bimbang sekiranya gangguan seksual dilaporkan, mereka akan hilang kerja serta potensi berkembang akan dihalang,” katanya.

Hannah berkata kementeriannya kini sedang menunggu hasil kajian kesan, yang akan dijadikan panduan dalam menggubal Akta Gangguan Seksual supaya kelemahan perundangan dan peraturan sedia ada dapat diperbaiki.

“Akta yang bakal digubal juga akan menumpukan kepada menghukum pihak yang mendiamkan laporan atau aduan salah laku, memendekkan Prosedur Operasi Standard (SOP) masa siasatan dan memperbaiki mekanisma untuk memudahkan mangsa membuat laporan.

“Namun, apa yang lebih utama ialah akta ini perlulah munasabah untuk diguna pakai oleh pengadu atau mangsa gangguan seksual,” katanya. -WD MY