TOKYO, 30 Mei- NADMA ke Jepun….Malaysia akan menghantar Pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Jepun untuk mempelajari pengalaman memulih dan membangunkan semula kawasan yang terjejas akibat bencana.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, terdapat tiga elemen penting yang harus dikuasai daripada negara matahari terbit itu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Hiyoriyama, Miyagi iaitu antara kawasan yang terjejas teruk akibat bencana tsunami di Jepun pada tahun 2011.

Sesi taklimat pemulihan dan pembangunan semula itu disampaikan oleh Naib Gabenor Sendai, Masahiro Wako.

Ahmad Zahid menyaksikan sendiri usaha yang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bagi memulih dan membangunkan semula wilayah berkenaan.

Monumen Peringatan Hiyoriyama ini dibina pada tahun 2012 bagi memperingati seramai kira-kira 944 mangsa tsunami di kawasan ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Malaysia menzahirkan minat untuk belajar dari pengalaman luas Jepun dalam pengurusan bencana termasuk usaha persediaan, tindak balas segera ketika bencana, dan pemulihan serta pembinaan semula pasca bencana.

Malaysia juga menghargai dan berkongsi penekanan khusus Jepun ke atas usaha mengurangkan risiko bencana.

Tiga elemen penting yang perlu dipelajari adalah bagi meletakkan suatu perancangan jangka panjang secara holistik terutama di Malaysia ketika menghadapi banjir, seterusnya penempatan kepada mangsa-mangsa banjir dan menyusun semula atau menstruktur kaedah bagi kehidupan mangsa bencana alam.

“Pihak “Miyaki” telah tawarkan untuk pegawai-pegawai kita ditempatkan untuk tempoh tertentu bagi memperolehi pengalaman di sini. Pada hemat saya ini merupakan satu tawaran baik yang harus kita pelajari sebab kita tak mahu bila kita terhantuk baru kita mengadah ertinya kita harus melakukan kesiapsiagaan,” katanya. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY