SEREMBAN,JUN 30: TINDAKAN…Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan kesal kerana ada ketua jabatan yang dikenakan tindakan oleh kerajaan negeri ekoran menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di Rembau pada Ahad lalu.

Beliau berkata, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang selama ini mendakwa mahu membawa perubahan kepada negara ini.

“Saya harap kerajaan negeri jangan cemburu. Kalau kita selalu laungkan nak bawa perubahan Malaysia baharu, buktikan. Bukan hanya cakap tetapi kena buat.

“Mereka mengambil tindakan tukar orang, ketua jabatan yang datang rumah terbuka saya diambil tindakan, jangan buat macam itu.

“Sebagai pemimpin mereka kena berjiwa besar untuk memenangi hati rakyat. Kalau berterusan, rakyat akan tahu beza yang mana intan dan kaca. Jangan anggap kami parti zaman darurat yang menjalankan kegiatan subversif, sampai nak jumpa orang pun tak boleh,” katanya.

Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau mengadakan rumah terbuka di Kampung Tanjung, Rantau pada 24 Jun lalu iaitu tarikh yang sama dengan majlis Aidilfitri anjuran kerajaan negeri di Sikamat.

Calon Timbalan Presiden UMNO itu turut melahirkan rasa kecewa kerana bendera UMNO yang dipasang untuk mesyuarat tersebut diturunkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas mendapat arahan pihak atasan.

“Dua hari lepas, kami pasang bendera kena cabut oleh PBT. Dulu kalau hari raya, wakil rakyat pembangkang nak pasang poster atau bendera, saya tidak pernah arahkan supaya turunkan,” katanya.-MY WD