KUALA LUMPUR, 11 Dis – KHABAR ANGIN….. Desas-desus bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa akan kembali ke syarikat pelaburan MARA adalah tidak benar.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata pada masa ini, Annuar tidak akan kembali ke MARA walaupun siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah selesai.

“Saya secara rasmi tidak mendengar Annuar akan kembali ke MARA. Khabar angin mungkinlah.

“Apa yang penting kita perlu tunggu tindakan seterusnya daripada kertas siasatan yang sudah diselesaikan SPRM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat MARA dan Ikrar Bebas Rasuah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai hasil audit dalaman berhubung penajaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan MARA Bhd ke atas pasukan bola sepak Kelantan serta kedudukan Annuar sejak penggantungan jawatannya 1 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Azam berkata kertas siasatan mengenai isu berkenaan sudah siap dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan sebelum keputusan siasatan diumumkan dan tindakan selanjutnya dibuat.

“Kita tunggu keputusan Pendakwa Raya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan hasil dapatan mesyuarat audit dalaman MARA berkaitan pergantungan tugas Annuar dibentangkan, Jun lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hasil dapatan itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau untuk tindakan selanjutnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf. – WD MY