KUALA NERUS, 26 Feb – CALON…  Hanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO yang berkuasa menentukan calon BN bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sehingga tempoh pengumuman itu parti tidak mampu menghalang jika ada dalam kalangan anggota parti yang membuka mulut dan mengaku bahawa beliau adalah calon yang akan bertanding pada PRU14 kelak.

“Kita tak boleh hentikan atau tidak boleh tutup mulut tempayan namun kita harus akur dan terima calon yang akan dimuktamadkan oleh PM selaku pengerusi BN dan presiden UMNO nanti.

“Pada masa kini PM sedang mengadakan rundingan dengan menteri besar di negeri-negeri selaku pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri di Semenanjung dan Sabah untuk tentukan senarai terakhir calon berdasarkan kriteria-kiteria yang telah parti tetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ekspo Terengganu ‘Molek Doh’ di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas pertanyaan pemberita isu ‘kebocoran’ kononnya senarai calon BN yang akan bertanding pada PRU14 yang masih belum ditentukan tarikhnya sehingga saat ini.

Mengulas lanjut katanya pucuk pimpinan hanya akan memilih calon yang sesuai berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan, bukan berdasarkan ‘angan-angan’.

“Sesiapa pun boleh berangan … kita ada metodologi tertentu, bukan berdasarkan angan-angan. Kita buat uji kaji ikut kriteria siapa individu yang disenangi pengundi dan keupayaan dia untuk menang di samping pada masa depan sama ada dia mampu jaga kepentingan pengundi dan semangat kekitaan yang dimiliki bersama pemimpin-pemimpin lain,” katanya. – WD MY