KUALA KUMPUR, OKTOBER 16: PEMANSUHAN….Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mencadangkan kepada kerajaan Pakatan Harapan supaya menghapuskan kutipan tol di semua lebuh raya terlebih dahulu sebelum berhasrat memansuhkan hukuman mati.

Kata Wee yang juga adalah timbalan presiden MCA, kerajaan dilihat tergesa-gesa dalam membuat keputusan itu tanpa mengambil kira pandangan dan reaksi daripada pelbagai pihak.

“Kalau kita nak mansuhkan hukuman mati mandatori seperti mana yang ada dalam manifesto HARAPAN, mereka juga cakap manifesto itu bukan kitab suci.

“Kalau kata nak patuhi juga, mansuhkan tol dulu sebelum mansuhkan mati mandatori,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum itu, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Wee menyoal mengenai justifikasi kerajaan dalam cadangan memansuhkan hukuman mati serta adakah kajian terperinci dilakukan terhadap cadangan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata hukuman mati yang dikenakan ke atas pesalah di negara ini dilihat bukan pencegahan yang berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah.

Katanya, ini merupakan antara hasil kajian berhubung hukuman mati dijalankan oleh I-CeLLS, satu organisasi di bawah naungan Jabatan Peguam Negara, yang turut melibatkan pakar terulung dunia dari University of Oxford, Profesor Roger Hood sebagai perunding kajian berkenaan.

Beliau berkata kajian itu juga mendapati hukuman mati tidak boleh diperbaiki atau dipulihkan selepas hukuman itu dijalankan menyebabkan terdapatnya risiko hukuman dilaksanakan terhadap individu yang tidak bersalah.

“Di Malaysia, terdapat kes di mana orang yang dituduh disabitkan dengan kesalahan bunuh berdasarkan keterangan palsu yang diberikan saksi utama.

“Walaupun sabitan terhadap tertuduh diketepikan kerana keterangan palsu tersebut, kes ini menunjukkan orang yang tidak bersalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Liew berkata pemansuhan hukuman mati itu juga sebagai satu usaha Malaysia untuk mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa.

Menjawab soalan tambahan Wee yang menyatakan mengapa kerajaan tergesa-gesa ingin memansuhkan hukuman mati yang menjadi langkah pencegahan kepada jenayah berat, Liew sekali lagi menegaskan ia tidak begitu berkesan.

“Dalam sebegitu banyak kes dadah yang telah dibawa ke mahkamah, ia (hukuman mati) tidak berkesan kerana ada banyak lagi pengedar dadah melakukan kesalahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pemansuhan hukuman mati tidak akan sewenang-wenangnya membebaskan mereka yang didapati bersalah kerana pesalah masih perlu menjalani hukuman penjara yang setimpal.- MY WD