KUALA LUMPUR, NOVEMBER 14: HARAPAN COIN….Najib Razak menuntut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mendedahkan pihak di belakang mata wang kripto Harapan Coin yang dicadang digunakan untuk pelbagai transaksi kerajaan.

“Saya tanya sekali lagi, apa sebenarnya agenda Harapan Coin ini, dan siapa sebenarnya yang untung?

“Saya mahu Khalid Samad dedahkan dalang di sebalik projek ini. Namakan mereka satu per satu,” katanya.

Dalam tulisan di Facebook hari ini, Najib berkata memetik semula kenyataan Khalid dalam satu rakaman yang menyebut kutipan itu akan dibahagikan antara pembangun skim (30 peratus), Amanah (30 peratus) dan Pakatan Harapan (40 peratus).

Sebelum ini, Khalid berkata beliau akan mencadangkan Harapan Coin, sebagai platform yang menggunakan teknologi mata wang kripto dan blockchain, kepada Bank Negara Malaysia dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga menjelaskan bahawa mata wang kripto itu akan boleh digunakan bagi transaksi seperti bayaran lesen dan saman.

Harapan Coin dilapor dilancarkan pada Mei lalu. Khalid ialah pengasas bersama mata wang itu yang dikatakan sebagai platform pengumpulan dana politik pertama.

Katanya biarpun teknologi Blockchain dan wang kripto baru di Malaysia, ia mempunyai banyak kebaikan termasuk menggunakan sistem data terbuka dan tidak boleh digodam.-MY WD