ROMPIN, 26 April – Golongan wanita di sini, mengharapkan lebih
banyak peluang dan latihan diberikan kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran
yang boleh dimanfaatkan demi menambah pendapatan keluarga.

Bagi peniaga gerai makanan, Manisah Harun, 40, beliau mengharapkan kerajaan
mewujudkan lebih banyak gerai Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk penduduk
setempat terutama golongan belia menjana ekonomi untuk diri sendiri dan
keluarga.

“Belia di Rompin ini mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang termasuk
makanan, pembuatan seni kraf dan menjahit. Kalau kerajaan boleh sediakan banyak
tempat untuk pasarkan hasil yang dibuat, belia boleh menjana lebih banyak
pendapatan tanpa perlu keluar dari Felda,” katanya.

Graduan universiti awam dan kelahiran Selendang 1, Nur Mastura Abidin, 27,
pula mengharapkan kerajaan memperluas lagi pemasangan jalur lebar di kawasan
perumahan Felda bagi memastikan golongan muda terus menikmati kemudahan yang
disediakan kerajaan.

“Di sesetengah kawasan Felda, liputan internet agak teruk menyebabkan kami
terpaksa mengambil masa yang lama atau perlu ke kawasan lain untuk mendapatkan
liputan yang lebih baik.

“Ini menyukarkan saya semasa membuat tugasan yang dibawa balik dari
universiti semasa bercuti di rumah,” katanya.

Sementara itu, wanita Orang Asli Saidah Yasin, 50, dari suku kaum Jakun
berkata beliau berharap lebih banyak bantuan berbentuk program kesihatan
diberikan, khususnya melibatkan penyakit berbahaya seperti kanser.

“Kalau sendiri mahu ke klinik, masih ada wanita yang pandang ringan dalam
bab ini. Tapi jika selalu ada yang datang bagi ujian kesihatan secara percuma,
ramai yang boleh pergi,” katanya.

Saidah yang mencari nafkah dengan menjual ketam nipah juga berharap pelbagai
bantuan yang diterima masyarakat Orang Asli akan berterusan, khususnya dalam
perihal pendidikan. -Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY