KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mencari pendekatan lebih munasabah bagi menyelamatkan kantung kewangan negara susulan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sejak 1 Jun lalu.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN UMNO-Kinabatangan) berkata antara yang perlu diberi penekanan ialah mekanisme bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti diumumkan pada Belanjawan 2019.

Beliau menyifatkan pembayaran balik secara mandatori kepada peminjam yang berpendapatan lebih RM1,000 dengan kadar dua hingga 15 peratus adalah tidak selari dengan latar belakang demografi rakyat di negara ini.

“Saya sudah kira, katakan seorang peminjam itu dapat RM150,000 untuk membiayai pengajian dulu, kalau perlu bayar RM20 sebulan, maka dia perlu berbuat demikian untuk kira-kira 7,500 bulan atau 625 tahun.

“Berapalah umur manusia di dunia ini? Saya rasa kerajaan kena buat kajian, walaupun sukar dan sakit dilaksanakan, telitilah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu berikutan kuasa rakyat, justeru perkara sama boleh berulang dan menimpa Pakatan Harapan (PH) jika terus menghampakan pengundi mereka.

“Saya ini orang baik, jadi saya bagi amaranlah. Kalau saya jahat, saya tak bagi amaran. Rakyat dulu tolak BN kerana tiada harapan, jadi tidak hairan rakyat akan tolak kerajaan sekarang pula.

“Jangan harapan tinggal harapan. Untuk itu, saya ada satu lagu. Harapan setinggi gunung, berderai jadi debu,” katanya sambil mendendangkan dua baris lagu ‘Hatiku Luka Lagi’ yang pernah dipopularkan kugiran Black Dog Bone pada 1978.

Bung Moktar turut meminta kepemimpinan Kementerian Pendidikan melaksanakan pemerkasaan di sekolah, termasuk memperkukuh kualiti silibus pengajaran supaya dijadikan wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum.

“Dulu (Menteri Pendidikan) Dr Maszlee (Malik) hanya minta RM40 bilion untuk memberi nafas baharu dan menjadikan institusi pendidikan negara kembali gemilang, sekarang beliau dapat RM62 bilion.

“Jadi, buatlah kerja dan jadikan sekolah kebangsaan disukai semua rakyat di negara ini, manakala kemudahan yang disediakan bersesuaian dengan keperluan semasa,”katanya.-MY WD