KUALA LUMPUR, SEPTEMBER 19: HARGA….Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, rakyat kini semakin terbeban di bawah pemerintahan kerajaan baru di mana pelbagai bantuan kepada rakyat dihentikan dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat, manakala kerajaan hari ini pula dlihat masih membuat pelbagai alasan untuk memberhentikan segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat semasa pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Tambah membebankan rakyat menurut Ismail, apabila sistem SST yang dilaksanakan bagi menggantikan sistem GST yang kononnya dapat meringankan beban rakyat, hanyalah retorik politik semata-mata apabila harga-harga barang masih tidak turun, bahkan ada yang meningkat dengan harga yang jauh lebih mahal berbanding ketika pelaksanaan cukai GST.

“Kerajaan baru menjanjikan satu kehidupan yang lebih sejahtera kepada rakyat, namun apa yang jelas hari ini, rakyat terutamanya masyarakat luar bandar lebih sengsara di bawah pemerintahan kerajaan baru ini. Bukan menjadi lebih sejahtera, sebaliknya menjadi sengsara dan derita.

“Sudahlah barangan asas tidak ada penurunan, malah harga-harga komoditi yang menjadi punca pendapatan penduduk luar bandar seperti getah, kelapa sawit jatuh menjunam begitu teruk sehingga memberikan kesan yang besar golongan rakyat yang bergantung kepada hasil tersebut.

“Sebagai contoh, jika dulu harga getah sebanyak RM 2.50 ketika sebelum PRU ke 14, kini turun menjunam menjadi hanya RM 1.90, lebih rendah daripada harga lantai iaitu RM 2.20. Harga kelapa sawit pula, daripada RM 550 satu tan, turun kepada Rm370 satu tan. Penurunan harga yang begitu menjunam ini sudah tentunya memberikan kesan yang besar kepada pendapatan mereka,” tegasnya.-MY WD