KUALA LUMPUR,JULAI 27:  DAGING….Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan pengguna untuk menggunakan hak mereka sebagai pengguna dengan bijak membuat pemilihan pembelian harga munasabah membabitkan produk daging.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjual pula dinasihatkan untuk mengamalkan etika perniagaan yang baik bagi memastikan harga daging yang dijual kepada pengguna tidak terlalu tinggi.

Menurutnya, daging bukanlah barang kawalan dan harganya ditentukan berdasarkan permintaan.

“Kerajaan hanya boleh beri nasihat dan syor kepada pengguna untuk guna hak mereka sebagai pengguna. Manakala, penjual pula dinasihatkan untuk lebih beretika.

“Bagaimanapun, saya berpendapat, langkah pertama yang perlu diambil bagi memastikan harga (daging) tidak membebani pengguna ialah membabitkan struktur usaha mencukupkan jumlah pengeluaran makanan,” katanya kepada media selepas Program Pembukaan Malaysia International Retail Franchise Exhibition di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, tadi.

Turut hadir, Presiden Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua.

Saifuddin berkata, bekalan daging di negara ini ada yang merupakan keluaran tempatan dan ada juga yang diimport.

Menurutnya, nilai import makanan negara adalah sebanyak RM51 bilion dan eksport pula sebanyak RM31 bilion.

“Wujud defisit sebanyak RM20 bilion… sangat tak seimbang. Itu kerana ketidakupayaan kita mengeluarkan makanan yang mencukupi termasuklah keperluan daging.

“Dulu pernah ada projek NFC (National Feedlot Corporation) tapi gagal,” katanya.-MY WD